ESEI
Kepentingan sukan dan permainan khususnya dalam melahirkan modal insan yang patriotik telah menjadi salah satu agenda negara untuk dikembangkan pada segenap lapisan masyarakat. Kerajaan telah menyedari bahawa sukan dan permainan adalah saluran yang paling berkesan untuk melahirkan generasi yang akan sentiasa menghargai dan mengamalkan tradisi budaya dan bangsa.
Sukan merupakan alat yang penting bagi mewujudkan perasaan bersatu padu. Permainan sukan seperti sepak takraw atau bola sepak memerlukan ramai pemain. Oleh itu, sikap bersefahaman dan bermuafakat adalah perlu untuk mengukuhkan pasukan dalam memperoleh kemenangan. Masyarakat juga dapat mewujudkan perasaan muhibah atau semangat bermasyarakat kerana sesuatu permainan ini biasanya akan dihadiri oleh pelbagai bangsa.
Selain itu, kegiatan sukan tidak mengenal batas kaum, daerah, negeri mahupun negara. Oleh itu, setiap rakyat yang mewakili negara dalam peringkat antarabangsa, akan disemai perasaan sedia berkorban untuk bangsa dan negara serta bertanggungjawab untuk mengharumkan Malaysia di mata dunia. Setiap orang daripada pelbagai lapisan masyarakat juga boleh menjadi penyokong pasukan negara untuk melahirkan rasa cinta akan bangsa dan negara Malaysia.
Di samping itu, sukan dan permainan telah menjadi aktiviti kokurikulum sekolah dan menjadi satu pembelajaran teras. Dengan cara bermain, secara tidak langsung pelajar akan dididik untuk bermuafakat, tolong-menolong, berlaku adil dan bertimbang rasa. Konklusinya, melalui sukan dan permainan, setiap modal insan yang patriotik dapat dibentuk.
Modal insan yang bersemangat patriotik dapat ditanam dalam diri saya melalui aktiviti sukan dan permainan seperti permainan tradisional wau.Permainan wau telah mewujudkan rasa cinta dan bangga terhadap bangsa dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia,saya sentiasa berbangga dengan masyarakat zaman dahulu yang berjaya mencipta sebuah permainan tradisional yang bukan sahaja popular malah turut meningkatkan martabat negara kita.
Selain itu,saya bersyukur menjadi warganegara Malaysia.Keunikan Malaysia yang terkenal dengan pelbagai tarikan seperti wau berjaya menarik minat warga asing untuk melihat sendiri keunikan yang terdapat di negara kita.
Di samping itu,semangat kekitaan dapat diterapkan dalam diri saya dan masyarakat.Hal ini dapat digambarkan melalui sikap kerjasama dan bersatu padu sewaktu wau dimainkan kerana permainan wau memerlukan beberapa orang untuk menaikkannya di udara.Sikap tolong menolong dapat dibentuk sewaktu menghasilkan wau.
Melalui festival wau dan pertandingan wau,sikap berdisiplin dapat dibentuk dalam diri kita.Hal ini kerana banyak peraturan yang perlu dipatuhi dalam acara pertandingan wau.Setiap peserta yang memasuki pertandingan ini perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan sekaligus dapat menjadikan peserta seorang yang lebih berdisiplin.
Sehubungan dengan itu,negara Malaysia yang aman lagi makmur akan menjadi sebuah negara yang adil dan bertimbang rasa terhadap rakyatnya.Ini kerana juri bagi pertandingan wau akan berlaku adil untuk memilih pemenang bagi sesuatu pertandingan itu.
Bukan itu sahaja,negara kita akan menjadi sebuah negara yang menghargai dan sentiasa mengamalkan tradisi,adat turun-temurun dan budaya nenek moyang kita supaya tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Walaupun pada masa kini banyak permainan lain yang canggih dan moden dipopularkan,namun permainan wau tetap dimainkan oleh masyarakat hari ini. Oleh itu,sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti sukan dan permainan dapat melahirkan modal insan yang bersemangat patriotik.
2.7.08
Langgan:
Catatan (Atom)